Translate

ccerpen curang

Written By iqbal_editing on Minggu, 20 Agustus 2017 | 06.53

ERPEN: CURANG
Dulu aku sangka, tanpa cinta isteri ku... aku akan tetap bahagia, gembira dan hidup seperti biasa. Namun setelah kau pergi, segalanya berubah kini! Aku kehilangan punca, aku juga kelukaan begini! Dan aku melalui kepedihan yang berpanjangan! Aku kecewa kerana perbuatan aku, aku terkilan kerana kebodohan diri.
“Siapa dia bang?” Ima bersuara pagi itu. Aku hanya diam dan tidak sedikit pun mahu ku ulas pertanyaannya. Air mata itu berderai lagi, namun hati ini sudah keras dan jiwa ini sudah hilang rasa kasih padanya. Bukan aku tak cinta, namun sebahagian hati ini telah menjadi milik seorang wanita lain. Bila dan bagaimana, aku sendiri tidak menyedarinya! Perasaan itu datang tanpa aku sedari dan dengan perasaan itu juga mengheret aku sejauh itu. Jauh dari perhatian buat keluarga dan jauh juga dari tanggungjawab sebagai seorang ketua rumah tangga.
Pernah dulu aku lupakan Ima dan dua perwira yang sedang membesar, aku bohongi diri itu dan aku gadaikan kepercayaan seorang isteri demi tuntutan kasih yang menular jauh ke dasar hati. Ima menerimanya penuh sabar dan terbuka walau aku tahu hati wanitanya remuk dan kasih seorang ibu menjadikan dirinya bertahan sekuat habis untuk terus disisi ini.
“Ima... abang,” aku lepaskan keluhan ini. Sukar sebenarnya untuk mengungkap sebaris kata yang bakal menusuk dan mencederakan hati itu. Namun selagi aku bertahan, selagi itu Delia mendesak dan sehabis itu juga dia mempersoalkan! Lantaran kasih untuk Delia ku anggap kasih tulus ikhlas! Ingin ku jadikan dirinya suri untuk istana yang ku bina nanti walau hati Ima terpaksa aku pasungkan dan ku toreh sedalamnya!
“Abang... Ima cuma mahu tahu, siapa dia bang?” soal Ima tidak memandang wajah ini. Sedari tadi lagi, air mata itu merembes namun cuba ditahan dari gugur di hadapan mata ini. Aku telan liur, keadaan ini sudah ku jangkakan dan ini reaksi dari Ima, namun bila aku berhadapan dengan realiti... aku akui keadaan Ima menyentuh sedikit rasa hati yang keras ini. Tapi apa daya ku lagi, kasih kepada Delia adalah kasih yang aku sendiri tidak dapat nafikan dari hati ini.
“Dia... dia...” begitu payah untuk aku luahkan namun aku harus dan perlu ungkapkan juga. Demi bukti cinta ini terhadap Delia.
“Delia!” sepatah ucap ku buat Ima terkedu. Semakin lebat pula air mata yang gugur. Sungguh aku tidak keruan melihat deras air mata Ima. Aku tahu hatinya kecewa bersalut duka, namun apa lagi yang harus aku lakukan! Lantaran pologami itu dibenarkan dalam Islam. Jadi siapa Ima untuk menghalang andai segalanya dapat aku tunaikan?
“Delia bang?” soal Ima perlahan hampir tidak kedengaran suara itu akibat disulam esak sendu yang berlagu.
“Ya Delia.” Sahut ku jujur.
“Delia... sepupu Ima?” soalnya memohon kepastian. Aku mengangguk lemah, ya aku berhasrat mengahwini Delia sepupu kepada isteri ku sendiri. Delia yang suatu ketika dahulu pernah menginap di rumah ini dan pernah juga melayani aku persis aku ini suaminya!
“Kenapa dia bang? Sejak bila?” pertanyaan Ima ku biarkan sepi seketika. Lantas ingatan ini terarah ke peristiwa enam bulan lalu.
****
“Abang Haikal.... Delia dah masak! Abang makanlah,” gumam Delia sambil berdiri di sisi meja makan. Aku jatuhkan kepala sekali mengangguk sahaja, lalu langkah kaki ku bawa mendekati meja makan. Kerusi dari jenis kayu jati itu ku tarik cermat lalu punggung ku labuhkan berhati-hati.
“Delia masak semua ni?” soal ku bagaikan tidak mempercayai, apatah lagi pelbagai jenis menu masakan terhidang dan penuh menyelerakan! Masih hangat dan pasti sedap dijamah panas-panas begini.
“Delia la yang masak,” sahut Delia gembira dengan reaksi dari ku.
“Marilah makan sekali,” pelawa ku buat Delia mengangguk laju. Aku lihat dia mengatur langkah menuju ke kerusi berhadapan lalu melabuhkan duduknya bertentangan.
“Dah lama abang tak makan di rumah, biasanya hujung minggu baru abang berkesempatan makan! Itupun kalau Kak Ima cuti, kalau dia kerja memang abang makan di kedailah jawabnya!” canda ku sekadar berbahasa basi.
“Oh yeke, takpelah! Lepas ni biar Delia yang masak okey, lagipun Delia tak ada kerja lagi.” luah Delia yang baru tiba ke rumah ini seminggu lepas. Gadis ini masih mentah dan hadirnya di sini hanyalah sekadar mahu mencari sebuah pekerjaan sementara menunggu keputusan peperiksaan STPM dikeluarkan.
“Eh, tak bolehlah macam tu! Delia datang sini nak kerja kan? So takkan nak jadi tukang masak dalam rumah abang?” luah ku menolak cadangan Delia. Mana mungkin sepupu kepada isteri ku ini dijadikan tukang masak dalam rumah sederhana besar ini! Tak mungkinlah, nanti apa pula kata ibu bapa Delia? Sudah tentunya mereka memandang serong kepada kami sekeluarga!
“Habis tu Delia nak buat apa bang? Lagipun Delia tak tahu selok belok bandar ni, nak keluar pun takut!” ujar Delia berterus terang. Aku mengiyakan kata-kat Delia, sepupu isteri ku ini masih baru dan masih belum jelas dengan keadaan tempat yang ku huni. Untuk melepaskan dirinya pergi bekerja diluar, bimbang pula andai berlaku apa-apa yang tidak diingini! Pasti aku dan Ima yang akan dipersalahkan nanti.
“Macam ni... apa kata Delia bekerja di pejabat abang! Tapi kerja-kerja kerani la.. macam mana okey?” cadang ku bila terkenangkan Shazi yang sedang cuti bersalin. Sementara menunggu staf yang telah sepuluh tahun itu berkhidmat kembali menyambung kerjanya, ada baiknya aku menggajikan Delia buat sementara waktu. Sekurang-kurangnya Delia mendapat kerja, dan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh Shazi dapat diuruskan segera.
“Boleh! Bila Delia boleh start kerja?” aku lihat anak gadis ini begitu teruja sahaja lagaknya!
“Esok pun boleh!” ucap ku sambil menyuap kembali nasi ke dalam mulut. Delia mengangguk gembira dan turut sama meneruskan makannya.
Seiring waktu yang berlalu, aku akui hampir setiap masa ini ku habiskan bersama Delia. Di pejabat hinggalah sampai ke rumah, dan bila dirumah pula Delia terlebih dahulu menyediakan makan malam buat aku sekeluarga! Manakala Ima yang bekerja di Seremban terpaksa pulang lewat lantaran tuntutan kerjanya yang memaksa! Manakala si kembar kami, Danial dan Damia juga akan tiba ke rumah ini bersama mamanya. Jadi sepanjang hari-hari yang ku lalui, Delia sentiasa berada di sisi. Bergelak ketawa dan bersenda gurau hingga tidak sedar hubungan itu semakin akrab dari hari ke hari.
“Delia jom makan sekali,” panggil ku bila melihat Delia tidak bersama setiap kali Ima juga berada di rumah dan dekat di sisi ku.
“Delia kenapa bang?” soal Ima yang pulang awal hari ini. Dan kelapangan yang ada, isteri ku yang bernama Shasyima akan menyediakan menu makan malam buat aku sekeluarga. Dan masakan Ima ku akui sedap dan lebih menyelerakan jika dibandingkan dengan masakan Delia. Cuma isteri ku ini jarang-jarang sekali memasak melainkan jika dirinya pulang awal dari tempat kerja.
“Entah, sekejap abang tengok!” ujar ku buat Ima tersenyum kecil lalu meneruskan lagi kerjanya mencedok nasi ke dalam pinggan.
“Delia, tak makan ke?” soal ku sambil mengetuk pintu bilik yang tertutup rapat.
“Tak ada selera la bang, abang dengan Kak Ima makan la dulu. Nanti Delia lapar, Delia turun!” jawab Delia tanpa membuka pintu. Aku angguk sahaja walau Delia tidak melihatnya!
“Delia mana bang?” Ima menyoal bila melihat aku keseorangan menuruni anak tangga.
“Dia tak lapar, kalau lapar dia turunlah!’ jawab ku tenang.
“Jom makan, abang dah lapar!” luah ku sambil menyambut huluran pinggan yang disua oleh Ima.
“Makan banyak-banyak ya, nanti cepat besar!” ucap Ima buat aku ketawa kecil. Pesanannya persis aku anak kecil seperti perwira ku yang berdua ini.
Akhir-akhir ini ku akui hubungan aku dan Delia berubah dingin setiap kali Ima berada di rumah! Dan setiap kali isteri ku pulang dan setiap itu juga Delia akan mengurung diri di dalam bilik hingga menimbulkan riak tidak puas hati Ima terhadap sikap Delia yang sebegitu. Namun ku pujuk hati Ima dan ku katakan mungkin Delia kepenatan bekerja di pejabat. Namun Ima menyangkal, dirinya lebih letih dan memenatkan dengan menjaga anak di malam hari, juga bekerja di pejabat seharian kemudian pulang pula harus menyelesaikan segala urusan rumah tangga. Jadi dimanakan kelelahan yang Delia maksudkan!
“Ima.... janganlah macam tu. Biarkan la dengan Delia.” Pujuk ku bila Ima mula terasa hati dengan sikap Delia yang mula pandai tarik muka bila bersua.
“Ima tak faham bang, apa yang tak kena dengan Ima ni? Nak kata Ima paksa dia buat kerja dalam rumah ni. Tak pernah sekalipun, nak kata Ima tak sediakan makan minum! Mustahil,” luah Ima petang itu. Aku hanya diam, senyap dan cuba menjadi pendengar setia. Sedang dalam hati ini, ku akui perubahan Delia hanyalah kerana rasa cemburu itu terhadap aku dan Ima.
“Ima ni kejam ke bang?” tanya Ima tiba-tiba.
“Kejam yang macam mana Ima maksudkan?” soal ku buat-buat bertanya. Agar perubahan aku tidak dapat dihidu oleh Ima yang sudah sepuluh tahun menjadi isteri ku.
“Taklah.. Ima rasa Ima dah beri segala yang terbaik untuk Delia. Sediakan semuanya apa yang diperlukan, jadi kenapa setiap kali Ima bertembung dia melarikan diri. Bila setiap kali Ima habiskan masa dengan abang dia tarik muka, takkan Ima nak bermanja dengan suami Ima sendiri boleh buat dia jengkel pada Ima bang?” bertubi-tubi Ima menyoal. Aku bungkam! Alasan apakah yang harus ku hamburkan untuk membalas segala pertanyaan Ima?
“Ima...” panggil ku lantas memeluk erat bahunya. Kaca TV bukan lagi fokus ku tetapi kini fokus ku hanyalah pada Ima juga Delia kekasih yang cuba ku rahsiakan!
“Hurmm?” Ima membalas sambil memeluk sebelah tangan yang bebas.
“Mungkin dia malu tengok kita macam ni, so next time kita tak boleh peluk-peluk macam ni! Tambah-tambah depan Delia. Mungkin dia tak selesa!” ucap ku penuh teratur. Ima pada mulanya menolak, namun akhirnya dia akui juga! Mungkin juga Delia tidak berapa menyukai situasi mesra aku dan Ima sedangkan hakikat sebenarnya, Delia kecewa dan terluka melihat kemesraan ini. Maafkan aku Delia dan maafkan aku juga Shasyima.
****
“Delia dah tak tahan! Bila lagi abang nak cakap pada Kak Ima? Sampai bila Delia kena berpura-pura bahagia depan abang dan Kak Ima?” soal Delia petang itu.
“Delia sabar la... macam mana abang nak buat lagi? Kalau abang ceraikan Ima, apa pula kata mak mertua abang, mak saudara Delia juga!” luah ku berharap Delia sanggup bersabar untuk seketika.
“Delia tak peduli, kalau abang tak nak cakap! Biar Delia yang cakap! Delia sanggup berdepan dengan Kak Ima!” ucap Delia berani namun aku menegah! Ini bukan masanya! Tambahan pula Ima sedang berbadan dua, menunggu masa untuk melahirkan anak ketiga ku.
“Delia.. sabarlah sayang! Tak lama pun, sebulan dua lagi kita beritahu semua orang ya.” Pujuk ku mencuba agar Delia bertahan untuk seketika.
“Sebulan dua tu lama bang? Sampai bila abang nak simpan Delia ni macam Delia ni perempuan simpanan abang?” luah Delia kedengaran kesal!
“Delia.... abang tak pernah anggap Delia perempuan simpanan abang! Abang akan jadikan Delia isteri abang yang sah! Sabar ya sayang,” pujuk ku lagi. Delia mendiamkan diri, bungkam untuk terus melawan bicara ini.
“Kita balik dulu ya, Kak Ima tengah tunggu kita dekat rumah!”
“Balik-balik Kak Ima.... balik-balik Kak Ima! Delia meluat la... Delia menyampah balik ke rumah tu lagi! abang pun satu, nak tunjuk mesra depan Delia? Agak-agaklah!” rungut Delia marahkan aku bermesra dengan Ima. Aku menggeleng lemah, bagaimana harus ku pujuk hati Delia yang merimaskan dengan sikap cemburu butanya itu.
“Delia.... sabar sikit boleh tak?” aku masih lembut menyusun bicara.
“Abang nak Delia sabar macam mana lagi? Delia dah habis sabar tahu tak!” jawab Delia enggan mengalah.
“Okey, esok Delia pindah dan tinggal dekat apartment abang! Tapi abang tak boleh ke sana setiap hari.” luah ku harap ini menjadi penyelesaikan terhadap masalah kami yang sering kali berlarutan sejak seminggu dua ini.
“Janji setiap hari abang akan jenguk Delia!” kali ini nada suara itu kembali ceria dan pandangan itu juga tampak bercahaya.
“Ya abang janji,” sahut ku tenang. Tenang bila dapat mengembalikan Delia yang asal!
***
“Sejak tiga bulan lepas!” satu suara mencelah dan kali ini aku benar-benar rasa terjerat! Delia berada di ruang tamu rumah sederhana besar ini.
“Delia!” seru Ima sekali. Aku pula sudah meraup wajah meramas rambut yang tadinya kemas tersisir.
“Delia cintakan abang Haikal! Tolong tanda tangan borang ni, Delia mahu berkahwin dengan abang Haikal.” Ungkap Delia kedengaran bersahaja namun sudah cukup membuatkan Ima semakin kesedihan dipagut duka. Borang kebenaran poligami itu diletakkan di atas meja kopi benar-benar dihadapan wajah Ima. Dan ku lihat, jari jemari Ima bagai terketar-ketar menyentuh helaian putih yang bertinta dakwat hitam
“Delia.... abang Haikal ni suami Kak Ima. Ayah kepada Danial dan Damia. Juga ayah kepada anak dalam perut Kak Ima ni. Delia tak kesiankan kak Ima?” soal Ima dalam sendu dan air mata yang semakin galak menuruni lekuk pipi dibiarkan tidak berseka. Manakala sepasang redup pandangan mata Ima menancap borang kebenaran itu, juga ke arah wajah ini juga wajah Delia silih berganti!
“Sebab Delia kesiankan Kak Ima, Delia minta Kak Ima tanda tangan borang ni. Kalau Delia tak kesiankan Kak Ima, dah lama Delia minta abang Haikal ceraikan Kak Ima.” Jawab Delia celupar. Aku ramas rambut yang semakin kusut, Ima tidak mungkin aku tinggalkan dan Delia pula tidak mungkin ku lepaskan!
“Sampai hati abang!” luah Ima bersama esak tangis.
“Apa kurangnya Ima bang? Apa kurangnya Ima? Ima beri abang zuriat, Ima jaga rumah tangga, jaga hati mak ayah abang... adik beradik abang lagi. Dan korbankan masa sendiri untuk beri semuanya pada abang! Apa lagi yang kurangnya!” soal Ima bertalu. Aku bungkam sekali lagi! Apa kurangnya Ima? Sejenak aku berfikir, Ima tiada kuranganya, segala urusan rumah tangga diuruskan sebaiknya, cuma layanan dan masa untuk ku sahaja yang tiada!
“Sudahlah Kak Ima, kalau Kak Ima jenis mamahami... pasti kak Ima sedar, kalau benar-benar abang Haikal sayang pada Kak Ima, dan benar-benar sayang juga cintakan Kak Ima, tak mungkin hati abang Haikal boleh berubah arah!” gumam Delia menambah luka di hati Ima.
“Apa yang Delia maksudkan ni?” soal Ima mengesat air matanya dengan belakang tapak tangan. Wajah Delia yang beriak selamba di tatap dalam dan tajam!
“Abang Haikal dah tak sayangkan Kak Ima, kalau abang Haikal sayang.... sudah tentu dia tak menduakan Kak Ima dan tak pasang skandal dengan seppupu kak Ima sendiri! Dah tiga bulan lebih Delia bercinta dengan abang Haikal!” Delia pula sengaja mengeruhkan keadaan.
“Abang! Sampai hati abang buat Ima macam ni!” luah Ima bangkit dari sofa. Air mata itu merembes lagi.
“Ima...” seru ku cuba meredakan keadaan.
“Abang Haikal.. sekarang ni Delia nak abang bertanggungjawab pada Delia. Delia pregnant!” ungkap Delia buat dunia ku kelam dan gelap gelita. Ima terpempam dan aku juga sudah melurut jatuh ke sofa, benarkah ketelanjuran sekali itu membuatkan Delia mengandungkan benih aku? ah.... apa semua ni. sedangkan aku hanyalah terbuai pada nafsu yang dihambat oleh bisikan syaitan! Ya Tuhan, apa yang sudah aku lakukan!
“Ima...” aku mula menyedari Ima yang sedang merenung ku dalam pandangan berkaca dan penuh hampa. Kesedihan di raut wajah itu tidak dapat disembunyikan lagi.
“Pergi! Pergi! Ima benci abang! Pergi!” jerit Ima memecah hening.
“Ima....maafkan abang! Maafkan abang Ima, abang! Maafkan abang!” ujar ku memohon sebuah kemaafan dari Ima.
“Cukup! Ima jijik dengan abang! Ima jijik! Jijik!!!!” jerit Ima bersulam esak, dari lantang nada suara itu bertukar hiba disulami esak tangis yang tidak mampu disembunyikan lagi.
“Haikal...” satu suara menyeru nama ku dan serentak itu juga satu tumbukan padu hinggap ke wajah.
“Aku dah dengar semuanya! Tak guna kau! Tak guna!” tubuh ini dilayak dan dibantai bertubi-tubi oleh abang ipar ku juga abang kepada Ima serta abang sepupu kepada Delia.
“Kau buat apa pada adik aku hah? Kau buat apa?” kali ini tumbukan Saiful ku biarkan sahaja. Memang aku yang bersalah!
“Delia! Saudara jenis apa kau ni? Jual maruah! Rampas suami orang, runtuhkan rumah tangga orang! Mengadung anak haram pulak tu! Perempuan jenis apa ni?” amarah Saiful tidak dapat dibendung lagi. Aku yang sudah luka berdarah dibelasah oleh Saiful cuba bangkit dan wajah Ima ku renung Iama, sedikit pun rasa kasihan Ima tiada pada ku saat ini, hanya renungan tanpa kasih yang ku lihat, benarlah perbuatan ini menjadikan kasih sayang Ima terhapus terus.
***
“Sekarang aku nak kau bertanggungjawab pada anak aku! kahwin dengan dia!” aku tertunduk mendengar hukuman yang dijatuhkan atas perbuatan hina ku terhadap Delia. Ima hanya mendengar, syarat yang diberi cukup sudah membuatkan aku dilema yang bukan sedikit!
Ima tidak sudi berkongsi dan tidak rela dilepaskan! Dan jika aku memilih Delia bermakna ikatan sepuluh tahun yang disimpul rapi akan terlerai ikatannya. Sedangkan aku tiada pilihan selain bertanggungjwab pada kebodohan sendiri.
“Aku tak peduli! Kau dah buntingkan anak dara aku! sekarang bertanggungjawab!” arah bapa Delia membuatkan air mata Ima kembali gugur, tiada apa yang mampu ku lakukan kini. Sedangkan Ima sedang mengandungkan zuriat ketiga ku. Dan aku tidak mampu melepaskan Ima jauh dari hidup ku! Satu persatu wajah Danial dan Damia ku renung, mereka juga melihat ku dalam pandangan yang sukar ku mengertikan.
“Sekarang, abang lepaskan Ima.” Pinta Ima sambil mengesat air mata yang gugur,
“Ima... tolonglah jangan buat abang macam ni. Abang minta ampun dan minta maaf! Abang tak mampu lepaskan Ima pergi dari hidup abang! Tolong janga beri pilihan yang abang tak mampu pilih.” Luah ku kesal namun hati Ima lebih kesal bersuamikan aku yang tidak menjaga maruah dan air mukanya sebagai seorang isteri.
“Abang pilih Delia... abang perlu lepaskan Ima. Pernah abang berjanji abang akan sehidup semati dengan Ima.... tapi semuanya janji kosong! Luah Ima kembali menyeka air mata yang gugur, pandangan itu masih terarah ke pandangan kota Kuala Lumpur dari bukit yang sering dikunjungi Ima setiap kali hati itu terluka.
“Abang minta maaf Ima.” Pinta ku namun tiada reaksi dari wanita yang ku sayang.
“Andai abang sayang.... tolong lepaskan Ima. Mungkin dengan cara ini, Ima lebih bahagia!” pinta Ima buat aku sebak. Melepaskan sebuah cinta yang bersimpul sedekat lamanya.
“Ima bencikan abang... sumpah Ima akan bencikan abang sampai mati!” luah Ima melontarkan rasa cuba membunuh rasa cintaku padanya.
“Ima,” seru ku agar dia berpaling dan melihat wajah ku untuk seketika.
“Lupakan Ima.... Ima mahu bina hidup baru bersama anak-anak Ima. Tolong jangan pisahkan Ima dengan anak-anak Ima. Hanya mereka yang Ima ada.” Rayu Ima dalam sendu. Aku hampiri tubuh itu, lalu kedua tangannya ku sentuh! Dia membiarkan namun seketika kemudian, lembut tolakan tangan itu buat aku dipagut sebak. Ima menolak sentuhan ini! Maafkan aku Ima mencipta luka di hatimu.
“Ima... Maafkan abang! Abang curang pada Ima.” Luah ku dalam kesal menggunung. Bodoh kerana membiarkan sekeping hati jatuh dan terpalit dengan dosa zina bersama Delia.
“Ima akan tetap maafkan abang walau sebesar mana salah abang....” gumam Ima tanpa sedikit pun menoleh ke arah ku. Aku terluka dengan penolakan Ima. Renunglah wajah ku Ima, tataplah aku untuk seketika.
“Abang... Ima minta halal dan minta ampun dan maaf atas segala kekurangan Ima dan kesalahan Ima sepanjang bergelar seorang isteri kepada lelaki seperti abang. Mungkin kekurangan Ima mendorong abang ke arah itu. Maafkan Ima,” luah Ima kesedihan dan aku adalah insan yang lebih kesedihan pada bicaranya itu.
“Ima pergi dulu.... dan lepaskan Ima. Dan Ima janji takkan ingat dan kenang semula walau secebis ingatan terhadap abang lepas ni.” gumam Ima tekad untuk minta dirinya dilepaskan pergi dari ikatan yang menjerat hati itu. Maafkan aku Ima!
“Andai abang sayang Ima... lepaskan Ima!” pinta Ima sebelum berlalu pergi. Aku hanya memerhati, dan terus memerhati hingga Ima dan kereta yang dipandu hilang dari pandangan mata.
****
Panggilan telefon yang ku terima ku jawab tanpa rasa. Satu kejutan buat aku terduduk! Ima terlibat dalam kemalangan, dan mereka mengatakan isteri ku parah.
Dalam rasa kesal yang sarat, kecewa dan luka dengan perjalan hidup ini... aku kuatkan semangat menuju ke hospital tempat dimana Ima dirawat. Perkhabaran yang ku terima cukup membuatkan aku tersenyum dengan kelahiran puteri kedua penyeri hidup yang bakal gelap selepas ini namun perkhabaran gembira itu tidak mampu menutup rasa duka dan bersalah ini bila keadaan Ima yang parah dan tidak lagi sedarkan diri menyapa deria pendengraan ku kali ini.
Aku kuatkan semangat untuk menatap wajah itu, luka dan kesan jahitan melatari seluruh raut wajah itu. Ima.... maafkan abang! Segalanya berpunca dari abang dan kebodohan abang. Maafkan abang, rambut ku raup. Kesal semakin membelit diri! Jika aku tidak menduakan Ima, sudah tentunya air mata derita dan kepedihan ini tidak singgah ke hati. Dan Ima menjauhi diri ku dengan cara begini, tiada bicaranya mahupun sentuhan kasih dari wanita genit ini melainkan kaku sebegini. Ima hukum aku dengan keadaan dirinya yang koma dan tidak sedarkan diri! Jasadnya dihadapan ku dekat dan hampir namun hati itu jauh! Jauh hingga sukar ku sentuh lagi!
Setahun berlalu, Ima sedar dari komanya dan akulah lelaki paling bahagia dengan berita yang ku tunggu selama ini. Tentang Delia, diri itu telah pergi setelah melahirkan zuriat ku bersamanya dahulu.
“Ima... abang ni.” panggil ku lalu ku sentuh wajah yang berubah cengkung setelah sekian lama bertahan dengan mesin hayat. Dia renung wajah ku lama dan aku senyum ke arahnya. Namun buat seketika dia palingkan wajah, tiada senyuman yang dahulunya sering kali mekar bila nama itu ku ungkap!
Kata doktor, Ima tidak mungkin kembali mengingati kisah silamnya dahulu! Dan benarlah sumpah Ima sebelum kemalangan itu, selepas pergi dirinya dari diri ku dahulu, sedikit bahkan secebis ingatan tentang kisah percintaan suka dan duka itu tidak mungkin dikenang lagi. Dan kini, Ima mengotakan janjinya dan Ima yang aku ada hari ini, hanyalah Ima yang baru, sering termenung dan menjauhkan diri bukan lagi Ima yang dahulu ceria dan periang orangnya!

0 komentar:

Posting Komentar

 
berita unik