CERPEN : Sungguh Merdu Suara Mu Sayang :'D
Atikah
sudah bersiap-siap. Gincu berwarna merah muda dicalitkan di bibirnya
yang mulus itu. Dia merenung sekilas ke arah cermin yang berada di
sisinya. Dia tersenyum puas. Puas kerana penampilannya pada hari itu
sudah cukup sempurna pada pandangannya. Rambut yang telah siap didandan
di salon pagi tadi dibetulkan sedikit. Parasnya yang sudah sememangnya
cantik itu semakin berseri apabila dia menggayakan baju kebaya moden
yang baru saja ditempahnya beberapa hari yang lalu.
Hari
ini, dia akan menghadiri majlis perkahwinan kakaknya di kampung. Lagu
nyanyian Saloma yang berkumandang di radio segera menarik perhatiannya.
Dia turut menyanyi mengikut rentak lagu tersebut. Atikah memang suka
menyanyi. Sebut saja nama Atikah di kampung, pasti suaranya yang merdu
dan menawan itu akan terngiang-ngiang di telinga para teruna yang telah
terdengar akan suara itu. Suara yang mendapat sambutan hangat setiap
kali ia "dijual". Tidak ubah seperti pisang goreng yang dijual di
gerai-gerai di tepi jalan. Begitulah "lakunya" suara Atikah yang turut
menjadi igauan gadis-gadis sebayanya di kampung.
*******************************************************************
Kehadiran
Atikah segera menarik perhatian setiap mata yang tadinya tertumpu
kepada bakal"raja sehari". Atikah tampak lebih cantik daripadanya
kakaknya sendiri. Tempat pengantin perempuan pada hari itu sudah
selayaknya dia gantikan sahaja. Dia begitu cantik. Ditambah pula dengan
suaranya yang memikat kalbu. Tidak ubah bagai bidadari yang turun dari
kayangan. Begitu mempesonakan.
Perhatian
kini tertumpu sepenuhnya kepada gadis Melayu yang sedang mengalunkan
lagu"Selamat Pengantin Baru" di atas pentas yang telah dihias gah itu.
Suaranya dialunkan sesuai lenggokan badan yang membutakan setiap mata
yang memandang. Ramai pemuda kampung sudah hampir hilang "sabar" apabila
terlihat akan susuk yang dilenggang-lenggokkan sesuai mengikut rentak
lagu.
Atikah
merasa puas apabila tepukan gemuruh diberikan selesai saja dia
menyanyikan lagu tersebut. Kalau diikutkan hati, ingin saja dia menyanyi
sepanjang tempoh majlis itu berlangsung. Namun, dia tidak mungkin
semudah-mudahnya "menjual" suaranya dengan harga semurah itu. Dia ingin
penduduk kampung sendiri yang mencarinya. Dia ingin mereka mabuk rindu
kerana terlalu ingin mendengar suaranya. Begitulah "mahalnya" suara
Atikah.
*******************************************************************
Sejak
dari kecil lagi, Atikah dan kakaknya hidup sebatang kara. Pemergian ibu
serta ayah tercinta telah menjadikan hidup mereka berdua bagai rumput
di tepi jalan. Pada ketika itu, tidak ada sesiapapun yang sanggup
membantu mereka berdua. Hidup melarat dan merempat sehinggalah pada
suatu hari apabila Atikah mula menyanyi di kelab-kelab dangdut bagi
menanggung hidupnya serta kakak tercinta. Sejak dari hari itu, nama
Atikah mula dikenali ramai. Bukan senang untuk mencari seorang penyanyi
yang cukup "pakej". Bak kata orang kampung " Rupa ada, suara pun ada. Two in one. Memang sempurnalah!"
Tetapi,
segala-galanya berubah apabila Atikah berpindah ke bandar. Baginya,
hidup di kampung terlalu merugikan. Orang yang cantik dan berbakat
sepertinya tidak patut disimpan saja di kampung itu. Oleh itu, dia
berpindah ke bandar untuk mencuba nasibnya di sana. Mencari kerja di
bandar agak sukar kerana bukan seorang sahaja gadis cantik yang
mempunyai suara sepertinya.
Di
bandar, ada ramai perempuan sepertinya. Malah, lebih cantik dan lebih
berbakat daripadanya. Oleh itu, Atikah sudah cukup berpuas hati andai
ada hotel-hotel yang sanggup memanggilnya untuk menyanyi pada
malam-malam yang istimewa. Tidak kurang juga kelab-kelab ekslusif yang
ingin mengupah Atikah. Upah yang dia dapat daripada "menjual suaranya"di
tempat-tempat seperti itu sudah cukup untuk membuatkan dia hidup bagai
permaisuri di bandar.
*******************************************************************
Duduk
seminggu di kampung sudah cukup untuk membuatkan Atikah berasa lemas.
Lemas dengan suasana kampung yang serba kekurangan. Lemas dengan
pemuda-pemuda di kampung yang asyik mengganggunya. Lemas dengan keadaan
rumah kakaknya yang panas dan sempit. Dia ingin segera pulang, namun
tidak pula dia sanggup meninggalkan kakaknya seorang diri menghadapi
hari-hari awalnya sebagai isteri orang. Biarlah dia mengalah dengan
egonya dan duduk di kampung untuk seminggu lagi.
***********************************************************************
Cahaya
mentari yang terik serta menghangatkan memaksa Atikah keluar untuk
mencari tempat yang lebih sejuk dan selesa. Atikah segera melangkah
keluar. Agak perlahan langkahnya. Dilihatnya satu-persatu rumah yang
telah terbina sekian lama di kampung itu.
Semuanya
masih cantik dan setiap satunya mempunyai nilai estetika yang
tersendiri. Hanya itu sajalah yang menarik perhatiannya di kampung.
Rumah-rumah orang kampung yang kebanyakannya masih mengekalkan rekaan
serta tradisi lama.
Masih
dia teringat bagaimana dahulu dia dan kakaknya juga punya rumah seperti
itu. Rumah kecil, tetapi penuh kehangatan dan kasih sayang. Rumah
kecil yang sentiasa dipenuhi dengan gelak tawa dia dan ibunya. Rumah
kecil tempat dia dan kakaknya diasuh serta dibesarkan.
Tetapi,
semuanya itu tidak kekal lama. Kemalangan ngeri yang telah meragut
nyawa ayah serta ibu tercinta meninggalkan dia dan kakaknya dengan
seribu kepayahan sehingga rumah itu akhirnya terpaksa dijual untuk
menampung hidup mereka berdua. Setelah itu, mereka menumpang kasih di
rumah mak ciknya yang juga tinggal di kampung itu. Sehinggalah dia
berpindah ke bandar dan kakaknya kini pula sudah berumah tangga.
Tiba-tiba,
matanya tertancap ke arah suatu susuk yang amat menarik. Sangat cantik
sehingga seorang perempuan sepertinya pun boleh tertawan. Inikan pula
lelaki. Susuk yang sedang termenung sendiri di bawah pohon rendang itu
didekatinya. Rasanya, wanita muda itu hanya beberapa tahun sahaja tua
darinya.
" Assalamualaikum, Kak....", sopan sekali Atikah menegur wanita cantik yang kelihatan begitu tenang itu.
Wanita itu memandangnya sekilas lalu tersenyum. Manis. Manis sekali senyuman itu.
" Suaranya pasti lebih manis daripada itu.", itulah tanggapan Atikah pada kali pertama dia melihat wanita itu.
Wanita
itu masih tersenyum. Pandangannya kini ditumpukan sepenuhnya kepada
langit Ilahi yang terbentang luas di depan matanya. Langit itu ditenung
sejenak. Kemudian kedua-dua telapak tangannya diangkat dan ditadahkan
menghadap langit yang luas itu. Ada rintihan kecil datang daripada
wanita tersebut. Diiringi linangan air mata yang semakin hebat
bercucuran. Kemudian, wanita tersebut menjadi semakin tidak terkawal.
Kakinya dihentak-hentak kemudian dia bersujud di atas tanah.
dicium-ciumnya bumi tempat sujudnya itu.
Atikah
yang sedari tadi duduk di sisi wanita itu segera angkat kaki. Dia tidak
mahu lagi berlama-lamaan di situ. Perihal wanita itu sungguh
menakutkannya. Tidak ubah seperti orang-orang gila yang dia jumpa di
bandar. Kadang-kadang tersenyum sendiri. Kadang-kadang menangis tidak
tentu hala. Ada pula waktu-waktunya mereka mengganggu orang lain yang
lalu-lalang di kawasan tersebut.
"
Gila agaknya perempuan ni. Takda angin, takda ribut, tiba-tiba saja
menangis. Menakutkan betul! Dekat kampung yang tenang macam ni pun ada
jugak orang gila rupanya....", Atikah terus-menerus merungut di
dalam hati. Boleh trauma kalau dia masih lagi mahu duduk di tempat itu
sambil melayan kerenah perempuan yang menakutkan itu.
*******************************************************************
"
Kak, tadi Ika keluar jalan-jalan keliling kampung. Ika jumpa seorang
perempuan ni. Cantik orangnya, Kak. Baya-baya akak jugak. Tapi,
dia.....dia macam tak betul je...", Atikah yang lebih selesa dengan panggilan Ika segera mengkhabarkan kepada kakaknya mengenai kejadian yang menimpanya hari itu.
"
Owh. Rumah dekat hujung kampung itu ke? Isma. Isma namanya. Dia dulu
pun macam kau. Pandai menyanyi. Orangnya pun memang sudah cantik. Banyak
sekali pemuda kampung ini yang ingin mengambilnya sebagai isteri.
Tetapi, semua ditolaknya....", sambil bercerita, kakaknya masih
terus melipat baju yang sudah berlonggok di hadapannya. Atikah mendengar
dengan penuh teliti. Dia masih menunggu untuk cerita yang selanjutnya.
"
Kau tahu-tahulah kan... Perempuan cantik macam tu, mana mungkin nak
berdampingan dengan lelaki yang miskin macam pemuda-pemuda dekat kampung
ni. Semua pinangan yang datang dia tolak. Pinangan dari anak Tok Imam
pun dia tolak tau", perhatiannya kini ditumpukan sepenuhnya kepada
cerita yang bakal disampaikan. Kain baju yang dilipat tadi ditinggalkan
seketika.
*******************************************************************
Imran.
Imran anak Tok Imam. Imran yang memang terkenal dengan sifat sopan dan
merendah diri. Pernah juga suatu ketika dahulu Atikah tergila-gila akan
pemuda itu. Namun, perasaan itu cepat sahaja berlalu seiring waktu.
Kini, citarasanya sudah jauh berubah. Dia lebih selesa bermesra-mesraan
dengan anak-anak Datuk yang datang ke kelab-kelab di bandar untuk
mendengar nyanyiannya.
Atikah
memang pandai sekali "berlakon". Apa sahaja pekerjaannya di bandar,
langsung tidak pernah diketahui oleh kakaknya. Satu-satunya yang
diberitahu adalah dia menjadi penyanyi"part time" di hotel-hotel mewah.
Kerja-kerja "part time" yang lain ada baiknya disembunyikan sahaja.
Begitulah
pendapat Atikah. Dia tidak mahu kakaknya naik angin apabila mendapat
tahu bahawa dia masih lagi menyanyi di kelab-kelab dangdut yang dipenuhi
oleh lelaki-lelaki gatal yang penuh helah. Helah licik yang telah
banyak menghancurkan gadis-gadis muda yang cantik seperti Atikah.
Tetapi, tidak pula Atikah pernah takut dengan semua itu. Asalkan pandai
berhati-hati, pasti tidak ada apa-apa akan berlaku. Atikah memang
seorang yang "optimistik" sekali.
*************************************************************************
Sekali
lagi wajah kakaknya ditatap. Dia tidak puas hati mendengar cerita yang
masih tergantung. Kakaknya menarik nafas panjang seketika. Bagai orang
yang hendak berenang lagaknya.
"
Entah mengapa. Suatu hari, dia bangun dari tidur seperti biasa. Kau nak
tahu apa terjadi? Suaranya. Suaranya sudah tiada. Maksud akak, hilang!
Hilang macam itu saja. Ada yang cakap, dia jadi macam tu sebab terkena
buatan orang. Almaklumlah, banyak yang berdendam dengannya. Satu, sebab
dia cantik. Satu lagi, sebab pinangan budak-budak kampung ni banyak yang
dia tolak.
Tapi,
akak tak percayalah ada orang yang sanggup nak "buatkan" dia sampai
jadi macam itu sekali. Kata orang-orang tua yang lain, itulah padahnya
kalau suara tu "dijual" merata-rata". Tatkala itu juga, sebuah pandangan tajam diberikan kepada Atikah yang kelihatan sedikit terkejut.
"
Ika.... Akak dah lama suruh kau berhenti menyanyi kan? Tapi, akak tak
nampak seperti kau nak berhenti pun. Akak kahwin hari itu pun kau yang
beria-ia nak menyanyi. Kau tahu kan , Ika? Suara ini seperti apa bagi
kaum perempuan? Suara kita ni berharga Ika.
Aurat!
Salah jadinya kalau dilenggok-lenggokkan sehingga menarik perhatian
kaum lawan jenismu. Kau tengoklah sendiri apa dah jadi dengan Isma.
Sejak dari hari itu dia terus jadi macam tu. Hari-hari tenung langit
sambil menadah tangan. Lepas itu menangis-nangis dan merintih -rintih
tak tentu hala. Akak tak tahulah dia tadah tangan nak minta ampun pada
Allah atau nak minta suara dia dikembalikan.
Tapi,
apa yang akak nak beritahu kau sekarang ni, hargailah anugerah yang ada
pada kau ni. Bukan semua orang ada anugerah macam kau. Suara yang merdu
dan menawan ni sepatutnya kauperdengarkan kepada orang yang layak
sahaja. Tak lain, tak bukan, suami kau, Ika.
Akak
tak larang kalau kau nak menyanyi waktu kau sorang-sorang dekat rumah
ni. Biar akak yang dengar. Tapi, tolonglah berhenti, Ika. Tolonglah
berhenti "menjual" suara kau dekat luar tu buat santapan lelaki-lelaki
lain. Akak tahu, mungkin ini saja cara kau nak cari rezeki. Tapi, kalau
dah salah caranya, rezeki yang kau dapat pun tak berkat. Tak berkat,
Ika.
Akak
tak nak kau dapat azab nanti kerana suara kau ni. Akak sayang kau Ika.
Jangan sampai suara kau pun ditarik balik macam si Isma tu.......",
perlahan sekali nada suara kakaknya. Dia cuba menasihati adiknya dengan
cara yang penuh lembut dan berhikmah, agar mudah masuk di kepalanya
nanti. Agar diingati dan disematkan terus di dalam hati.
*******************************************************************
Sudah
2 tahun berlalu. Ika tidak menyanyi lagi. Pakaian serta penampilannya
kini pun sudah berubah sama sekali. Dia sudah bertaubat. Sejak mendengar
kisah mengenai Isma, Ika menjadi takut sekali. Takut akan azab Allah
nanti. Sungguh dia tidak mahu menerima balasan buruk seperti Isma.
Masih
dia ingat dahulu bagaimana dia diserang demam panas dan batuk-batuk
sehingga tidak dapat bersuara selama 3 hari. Hidupnya pada waktu itu
sungguh tersiksa. Rasa seperti hendak meraung-raung.
Lihatlah.
Untuk kehilangan suara selama 3 hari pun dia sudah tidak sanggup.
Apalagi untuk kehilangan suaranya buat selama-lamanya seperti Isma.
Pasti dia juga akan menjadi gila. Mugkin lebih teruk dari itu. Bila
terlihat akan artis-artis yang menyanyi di televisyen, Atikah teringat
akan dirinya.
Dahulu,
dia juga seperti itu. Berpakaian serba cantik dan bergaya. Cuma, dia
tidaklah pernah muncul di televisyen seperti artis-artis tersebut.
Walaupun begitu, permintaan terhadap suara merdunya tidak kurang
hebatnya.
Kadangkala,
sehingga dia tidak sempat untuk menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai
seorang muslim. Jangankan 5 waktu, 1 waktu pun kadang-kadang tidak
lepas. Begitulah sibuknya dia "menjual suara" sehingga dia lupa sama
sekali pada Allah.
Belum
lagi dihitung-hitung dosanya setiap kali dia cuba menggoda
lelaki-lelaki kaya dengan suaranya yang manja dan lembut. Belum lagi
dihitung-hitung panggilan telefon dia jawab dengan suara yang lembut dan
manja. Apabila ditanya oleh teman serumah, "boyfriend"katanya. Ya,
"boyfriend." Bercakap dengan 'boyfriend" mesti berlembut-lembut. Itu
tanda sayang.
Teman
serumah pula hanya mampu beristighfar panjang setiap kali terdengar
akan suara-suara halus Atikah melayan lelaki-lelaki yang tidak
putus-putus menghubunginya. Walau sehingga 3-4 pagi sekalipun.
Berlinangan air matanya tatkala dia teringat akan dosa-dosanya yang
lalu.
*******************************************************************
" Ika......" bisik suara itu di suatu malam yang tenang.
"
Boleh nyanyi untuk Abang tak? Satu lagu saja. Ika ni..Kalau dalam
tandas, rajin je meraung-raung dan bersenandung. Siap bersyair lagi
Abang dengar. Tapi, dekat depan Abang, satu lagu pun tak pernah Ika
nyanyi. Abang cemburu dengan tandas tu. Lain kali, kalau Ika masuk
tandas, biar Abang teman je. Dapatlah juga menumpang kasih tandas tu
untuk dengar suara Ika yang manis rupawan ni...."
Ika
hanya tersenyum manis apabila mendengarkan lawak yang sungguh mencuit
hatinya itu. Diberikan satu cubitan manja kepada susuk yang sedari tadi
asyik membuat dia ketawa.
Imran
terus-terusan membuat lawak. Senang hatinya melihat isteri tercinta
tersenyum gembira. Ika yang datang hampir setiap hari ke masjid untuk
belajar mengaji telah berjaya menarik hatinya. Ika yang selalu berjumpa
ibunya untuk mempelajari perihal serta hukum-hukum agama terus dia ambil
menjadi isterinya.
Kini,
sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai suami untuk mendidik Ika. Dia
sendiri yang akan membimbing Ika. Dia sendiri yang akan memimpin tangan
Ika ketika mereka sama-sama menuju ke syurga nanti. Atikah, Wanita
bersuara merdu yang kini dia sekat alunannya untuk diperdengarkan hanya
kepada dia yang layak.
0 komentar:
Posting Komentar