Translate

cerpen akulah perempuan itu

Written By iqbal_editing on Jumat, 17 Februari 2017 | 06.18

Cerpen - Akulah Perempuan Itu....
Akulah Perempuan Itu.... 
Hasil karya : nr75 

Sayup-sayup kedengaran bunyi cengkerik di luar sana. Rintik-rintik hujan masih lagi bersisa. Ku toleh kecermin di sudut katil. Wajah yang menjadi pujian ramai suatu ketika dulu kini semakin pudar. Tapi wajah ini juga yang mengundang derita, mengundang sengsara. Aku benci mereka!!. 

"Lia, ini abang Lia. Mari kita balik sayang. Kita bina kembali kehidupan kita. Abang dah insaf. Abang… abang…. Aa.. aabang rindukan Lia." 

Ku donggakkan muka. Insaf?!. Apakah ianya dapat membasuh kembali luka yang telah kau tinggalkan?. Dapatkah kau mengembalikan kesucian anak mu Murni?. 

"Azlia, mari kita balik nak. Tinggalkan tempat kotor ini. Tempat ini tidak sesuai untuk seorang isteri yang baik seperti Lia. Lia anak yang mendengar katakan?. Mari kita balik nak. Ayah tau Lia masih berdendam. Lupakanlah yang sudah-sudah. Ayah kesal dengan apa yang telah ayah lakukan." 

Kerana mendengar katalah aku jadi begini. Layakkah kau ku panggil ayah?. Kesal mu tidakkan mampu memulihkan diri ku kembali. 

"Tidak… tidak… tidakkkkk…. Penipu!!. Kau semuanya penipu!!." 

"Kau menangis Lia??. Kau kesal dengan apa yang telah kau lakukan??. Bukankah ini jalan yang kau pilih?." 

Ku pandang sekilas wanita itu. Wajahnya cukup menakutkan, raut mukanya penuh keangkuhan dan kebencian. Pakaiannya serba hitam. 

"Tidak. Aku benci pada mereka, mereka telah memusnahkan masa depan dan harapan ku!!." 

"Tapi kenapa kau menangis?." 

"Aku.. aku.. ohh…" 

Tidak termampu untuk aku membendungnya. Tapi kenapa aku harus menangis?. 

"Kau sayangkan mereka??. Hah?!. Jangan jadi bodoh Lia!!. Kerana mereka kau jadi begini. Dan sepatutnya kau bunuh mereka!!. Kau fikir ayah kau dah insaf?. Apakah suami kau juga telah benar-benar berubah?. Kau masih percayakan mereka lagi?. Masih nak beri peluang pada mereka lagi?. Heh!. Cukup Lia, cukup!!." 

Hidup aku menderita. Masa remaja ku menjadi sia-sia. Aku hidup dalam kepura-puraan. Ku sangka bahagia yang menjemput ku, rupanya derita mengundang tiba. 

"Assalamualaikum." 

Seorang wanita, entah dari mana datangnya. Wajahnya cukup ayu, harum semerbak baunya. Berseri-seri wajahnya. Pakaiannya serba putih. 

"Walaikumsalam." 

Wanita berbaju putih itu hanya tersenyum. Tetapi wanita berbaju hitam hanya tersenyum jengkel. Dia memandang sekilas dengan mimik muka kurang senang. 

"Kau kenal aku Azlia?." Soal si baju putih. 

"Ti.. ti.. tidak.. kkau… kkau ssiapa?." 

Sungguh aku tidak mengenali mereka. Tapi wajah mereka serupa ku. Siapakah mereka?. Jelmaan?. Hantu?. Setahu ku, aku tidak ada pasangan kembar. Siapa mereka ini?. 

"Kau siapa hah?." Soal si baju hitam. 

"Aku?. Kau pun tak kenal aku?." Si baju putih tersenyum mengejek. 

Tangannya menunding si baju hitam. 

"Dan siapa pula kau?." 

"Aku?. Akulah perempuan itu. Siapa pula kau??." Si baju hitam memperkenalkan diri. 

"Dan aku?. Aku juga perempuan itu." Kata si baju putih. 

Semuanya menunding jari kearah ku. Aku semakin keliru. Siapa mereka ini?. Apa mereka mahu dari aku?. 

Si baju hitam tersenyum jengkel, manakala si baju putih tetap tersenyum. Dia menghampiri ku dan duduk penuh sopan. 

"Untuk apa kau datang hah?. Aku tak perlukan kau. Pergi kau dari sini!!. Pergi!!." 

Si baju hitam ketawa besar, si baju putih memandang sekilas. Perlahan-lahan dia bangun. 

"Lia, apakah kau telah lupa asal diri mu?. Dari seorang wanita yang suci, penuh dengan kelembutan, sopan santun. Kenapa mesti jalan ini yang kau pilih Lia?. Kenapa??." Soal si baju putih. Tuhan, kenapa kau datangkan mereka ini pada ku?. Aku telah lama melupakan diri aku yang dulu, sifat itu tidak wujud dalam diri ku lagi. Tuhan?. Aku menyebut nama mu?. Bermimpikah aku?. Telah sekian lama aku lupakan kewujudan mu. Ohh….. 

"Hey perempuan!. Kau tak dengar ke?. Dia tak perlukan kau lagi. Untuk apa kau datang?." Penuh angkuh si baju hitam menyergah. 

"Aku berhak!!. Kerana akulah perempuan itu!!." Bangkah si baju putih 

"Apa?, kau telah lupa kenapa dia jadi begini. Hah?!. Cuba kau ingat kembali, kau yang dulu dah hilang. Yang wujud kini adalah aku!!. Ya aku!!. Dan aku berhak ke atas diri ku. Kerana akulah perempuan itu!." Si baju hitam mendabik dada. 

"Kau jadi begini kerana keegoanmu, kau yang mudah putus asa, kau yang tak cekal. Itu dugaan hidup namanya. Kenapa kau harus merosakkan masa depan dan diri kau sendiri?." 

"Kau lupa?. Atau sengaja lupa?." 

Sayup-sayup. … 

"Ayah.. jangan ayah. Jangan!. Tolong Lia ayah, jangan buat Lia macam ni. Jangan ayah.. jangan… ayah.. ayah… jangan ayah… jangan. Ayah… lepaskan Lia ayah.. lepaskannn… tidakk.. tidak.. tidakk. Tolong.. tolongg…" 

"Diam!!. Diam!!. Aku bunuh kau nanti. Ingat!!. Jangan cerita pada orang lain, faham?!!. Kalau tidak, nahas kau!. Ingat!!." 

Aku tersentak. Ya, kerana dia. Selama ini dialah tempat ku menumpang kasih selepas kematian emak, dialah yang aku agungkan, dialah tempat ku berlindung, rupanya dia mengambil kesempatan diatas kelemahan dan kealpaan aku. Betapa bodohnya aku. 

"Itu bukan alasan." Si baju putih mengelengkan kepala. 

"Bukan alasan kau kata, hah?!. Hampir setiap malam, sepanjang 7 tahun!!. Hidup aku, masa depan aku. Masyarakat menyalahkan aku!!." Si baju hitam memberontak. 

"Tapi bukan ini caranya. Kau terlalu mengikut kata hati." 

"Lalu cara apa lagi?. Menjadi seorang isteri yang solehah?. Lupakan segala peristiwa silam?. Semudah itu?. Huh!, tak mungkin!. Apa yang telah suami kau lakukan?. 

Apakah dia suami yang soleh, bertanggunjawab?. Layakkah dia ku gelar suami?. Penagih.. dan.. dan.. tergamak merogol anak sendiri!!." Ujar si baju hitam penuh lantang. 

Si baju putih terdiam dan tunduk ke bawah seperti memikir. Dia memandang ku sekilas. Dan aku?. Aku mengiakan segala kata-katanya. Kenyataannya begitu. Ku sangkakan dia boleh melindungi aku, menyayangi aku, menjaga aku dan yang utama sekali dapat membimbing aku dunia dan akhirat setelah diri ku tercalit noda hitam. Aku perlukan dorongan, pembimbing dan penguat semangat. Namun apa yang ku harapkan hanya impian kosong semata. Semuanya hanya janji-janji manis. Dan aku akui aku terpedaya kerana kurangnya pengetahuan diri. Dan yang paling aku kesalkan, latar belakangnya tidak sama sekali ku tahu. Ya!, mungkin kerana cinta. Cinta telah membutakan segala keburukan. Betapa kejamnya dia!. Mengambil kesempatan pada wanita malang seperti aku!. 

Dari samar-samar cahaya kelihatan…. Sekumpulan remaja sedang bersembang kosong. Lagak mereka cukup memualkan sesiapa yang lalu-lalang di pusat membeli-belah tersebut. Dengan pakaian yang agak menjolok mata. Cukup memalukan. 

"Kau nampak?. Azlia anak aku. Hidupnya tak tentu arah semenjak kejadian itu. Kepercayaannya turut hilang. Lelaki yang dipercayai, pemusnah masa depannya." Terang si baju hitam. 

"Kau sepatutnya memberi keyakinan padanya. Kau didik dia. Masih ada cara untuk memulihkan segala-galanya." Pujuk si baju putih. 

"Didik?. Diri aku sendiri tidak terajar apa lagi untuk memberi keyakinan hidup padanya. Heh!. Masa untuk itu dah tak ada, dah lenyap. Apa yang ada hanya sisa-sisa. Si Adnan, anak sulong aku, kini bakal doktor. Huh!. Bukan calang-calang doktor. Setiap sakit pasti ada ubatnya. Cakap apa saja penyakit, pasti dia boleh mengubatinya." 

"Doktor?. Doktor apa?." Si baju putih bertanya. 

"Iya, doktor!. Doktor tak bertauliah!." Angkuh si baju hitam menerangkannya. 

"Kau menyalahkan takdir?." 

"Mereka punca segalanya!." 

"Kenapa harus dikesalkan masa silam. Kau harus bangun. Jangan ditangisi masa yang lalu." 

"Aku benci mereka!. Aku jijik, hina!. Masyarakat tidak sudi menerima aku!." 

"Pedulikan mereka. Kau tidak bersalah. Kau masih ada DIA." 

DIA?. Oh, apakah insan hina seperti aku layak untukNya. Sedangkan suruhanNya ku abaikan, yang ditegah itulah permainan seharian aku. Telekung dan sejadah semakin aku lupakan. Bukan lupa, cuma aku tidak mengenalinya. Ya, memang betul, aku akui, aku tidak kenal sejadah, kain telekung apa lagi ayat-ayat Al-Quraan yang suci itu. Aku cuma tahu kewujudanNya, tetapi aku tidak tahu bagaimana caranya. Tiada siapa yang sudi membimbing aku. Betapa daifnya aku. Oh Tuhan!. 

"Manusia seperti aku tidak layak." 

"Masih ada jalan. Pintu taubat belum tertutup." 

"A.. aku.. aku.. aku malu pada Dia." 

"Tapi kau tidak malu melakukan perbuatan terkutuk ini?." 

"Kau menyalahkan aku?." 

"Kau ego. Meletakkan kesalahan pada orang lain. Kau tidak mahu terima kelemahan diri kau sebenarnya!." 

Aku ego?. Ya, memang aku ego. Sememangnya mereka yang bersalah. Jika tidak masakan di sini tempat ku. Mereka punca segalanya. Mereka yang menyebabkan aku jadi begini, mereka tak layak untuk hidup!. Arghhhh!!. 

"Kau fikir dengan cara itu dapat meredakan kekusutan?. Atau kau bosan dengan kehidupan kau ini?." 

"Diam!!. Diam!!." 

"Masih ada harapan. Yakinlah bahawa bahagia pasti menjelma." 

"Tidak semudah itu. Aku telah jauh membawa haluan. Tak mungkin Dia akan menerima aku!." 

"Yakinlah pada diri mu. Sampai bila kau nak berterusan begini?. Fikirkanlah masa depan anak-anak mu. Mereka perlukan kasih sayang, belaian dan pembelaan." 

"Tapi aku perlukan kekuatan. Aku perlukan sokongan. Aku tidak mampu bergerak seorang diri." 

"Kau tidak yakin pada kemampuan kau?. Bukankah kau ada Dia?. Kemana kau pergi Dia tetap wujud. Percayalah, selagi kau mengingati Dirinya, Dia akan selalu disamping kau." 

Mampukah aku?. Ya, Allah!, aku akui kewujudan mu. Tapi aku tidak tahu pada siapa dan di mana harus ku bawa haluan ku ini. Bantulah aku Ya Allah. 

~TAMAT~

0 komentar:

Posting Komentar

 
berita unik